- Welcome To My Blog -

. hope your enjoy with my blog .

Saturday, April 14, 2012

MAHKAMAH HATI

Bukankah kita sering diperingatkan, berani kerana benar, takut kerana salah? ‘Benar’ itu sejak dari dulu lagi telah menjadi sumber keberanian. Manakala, ‘salah’ itu adalah punca ketakutan. Jangan dibiarkan hidup dalam ketakutan, akibat terus menerus melakukan kesalahan. Perlakuan yang salah akan menimbulkan perasaan bersalah. Rasa bersalah itu sangat menyeksakan selagi ianya tidak ditebus dengan kemaafan dan taubat. Rasa bersalah terhadap manusia amat meresahkan, apatah lagi rasa bersalah kepada Allah.
Mahkamah pengadilan itu ada tiga. Pertama, mahkamah di dunia, yang mana saksi, pendakwa dan hakimnya adalah manusia seperti kita. Kekadang, dengan kebijaksanaan dan kelicikan, mahkamah dunia ini dapat diperdayakan. Telah sering kali yang bersalah terlepas, sebaliknya yang benar pula terhukum. Justeru, masyhurlah kata hukama, tidak ada keadilan yang muktamad dan mutlak di dunia ini.
Kedua, mahkamah di akhirat, yang hakimnya adalah Allah yang Maha Adil. Di sana nanti, yang benar akan terserlah, yang salah pasti kalah. Akan terbongkar segalanya walau bagaimana pandai sekalipun bersilat kata. Tidak perlu didatangkan saksi atau pun barang bukti kerana apa yang ada pada diri akan ‘hidup’ untuk memberi persaksian. Kulit, tangan, kaki dan segala anggota akan berkata-kata mendakwa kita di mahsyar nanti. Di sana nanti akan tertegak keadilan yang hakiki.
Ketiga ialah mahkamah hati. Saksi, pendakwa dan hakimnya adalah hati sendiri. Hati kecil yang sentiasa bersuara walau cuba dipendamkan oleh tuannya. Protesnya terhadap perlakuan dosa sentiasa bergema dalam rahsia. Fitrahnya akan menjerit. Itulah jeritan batin yang mampu menghantar pemiliknya ke penjara jiwa yang menyakitkan.
Dosa mungkin boleh disembunyikan daripada pengetahuan manusia lain, tetapi ianya tidak akan mampu disembunyikan daripada Allah dan hati sendiri. Jadi, ke mana lagi kita ingin menyembunyikan diri ketika dipanggil untuk dibicarakan di mahkamah hati? Setiap masa, setiap ketika dan di setiap suasana hati kecil akan bersuara, tidak tega dengan kesalahan, tidak rela dengan kemungkaran.
Dosa itu derita. Kerana yang salah dan dosa itu sangat memberi kesan kepada jiwa. Bila kita berdosa hakikatnya kita melakukan dua ‘perlanggaran’. Pertama, perlanggaran ke atas fitrah hati yang tabii. Kedua, ‘perlanggaran’ terhadap Allah, zat yang Maha Tinggi. Dua perlanggaran ini sudah cukup untuk meragut ketenangan jiwa.
Jangan dilawan fitrah sendiri yang menyukai kebaikan dan membenci kejahatan. Fitrah ini adalah kurniaan Allah, yang dengannya seseorang boleh menerima pengajaran dan didikan. Jika fitrah sukakan kebaikan itu disubur, dididik dan dipimpin, maka jalan hidup akan harmoni dan bahagia. Sebaliknya, jika fitrah yang baik itu dibiarkan dan diabaikan apatah lagi jika ditentang, maka tidak akan ada lagi kebahagiaan dan ketenangan. Jadi, berhati-hati menjaga hati, agar hati tidak mati.
Rasulullah s.a.w. pernah ditanyakan berkenaan dosa? Baginda menjawab: “Dosa adalah sesuatu yang menyebabkan hati kamu resah dan kamu tidak suka orang lain melihat kamu melakukannya.”
Dosa itu adalah racun. Bahananya akan merosak secara perlahan atau mendadak. Justeru, seringlah bersidang di mahkamah hati. Selalulah bertanyakan hati kecil sendiri. Hati itu tidak akan berdusta selagi ianya tidak mati.

No comments:

Post a Comment